Al Ustaz As Sheikh Ahmad Bin Hj Tunggal al Haj
Sheikh Ahmad Bin Hj Tunggal ketika ini Yang Di-Pertua Badan Kebajikan Jemaah Khaujakan Johor. Beliau juga sebagai Sheikhul dan murshidul kepada semua manhaj dan amalan kerohanian anjuran Badan Khaujakan. Beliau diamanahkan untuk menerajui kepimpinan badan ini yang mempunyai barisan jawatankuasa dan seramai lebih 27 ribu orang ahli jemaah. Beliau menerima amanah untuk menjalankan dan melaksanakan dasar dasar badan ini dan mengajak ahli ahli khasanya dan umumnya masyarakat untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.
Dilahirkan di Muar, Johor tanggal 28 Ogos 1947, di sebuah Kg Parit Sakai Darat, Muar. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Parit Kroma, Muar dan menengah di Sekolah Menengah Mohd Yasin Jalan Bakri, Muar. Beliau berpeluang menyambungkan pendidikannya ke Kaherah, Mesir di Universiti al Azhar dan mendapat Ijazah dalam bidang Syariah Wal-Qanun.
Beliau mula bertugas pada tahun 1976 dengan menjadi seorang pendidik di bidang agama di SMK Dato Sri Amar DiRaja dan sekolah Menengah Sains Muar sebelum menyandang jawatan Pegawai Agama di Jabatan Pelajaran Negeri Johor pada tahun 1995. Setahun kemudian bertugas sebagai Pengetua di Sekolah Menengah Agama Kluang dan kemudian sebagai Guru Pakar Pendidikan Islam di Sekolah Menengah Agama Maahad Muar.
Sheikah Ahmad telah lama berkecimpung di bidang agama dan telah menjalankan amanah dengan cermerlang, sebagai penghargaan kepada jasa jasanya di bidang dakwah beliau di kurnia pelbagai anugerah seperti Anugerah Guru Cemerlang Negeri Johor 1996, Anugerah Tokoh Guru Agama Cemerlang Negeri Johor pada tahun 2000, Anugerah Toko Guru Peringkat Daerah 2012, Anugerah Maal Hijrah Peringkat Negeri pada tahun 2003 dan Anugerah Toko Guru Peringkat Negeri 2013.
Setelah bersara dari perkhidmatan pada tahun 2003 beliau terus aktif sepenuh masa melibatkan diri dalam masyrakat di bidang keagamaan. Selain menjadi teraju pengerak dakwah Badan Khaujakan Johor beliau juga menjadi Imam di Masjid al Manar di Muar, Guru Takmir di surau dan masjid, Jurunikah dan Amil Zakat. Beliau juga menjadi penceramah keagamaan dan penceramah motivasi dan banyak menerajui aktibiti pembangunan kerohanian dalam masyarakat.
Sheikh Ahmad amat meminati bidang penulisan dan beliau telah mengarang beberapa buah buku ilmiah yang berteraskan keagamaan sebagai rujukan pelbagai pihak. Antara buku buku yang ditulis yang sangat sesuai dijadikan santapan rohani ialah seperti buku 10 Selawat, Insan Rabani, Ketenangan Jiwa, Bimbingan Rohani dan beberapa buah buku sebagai rujukan dan panduan seperti Doa, al Quran dan Hadis, Solawat al Fateh dan sebagainya. Kesemua buku buku ini diterbitkan oleh Badan Kebajikan Jemaah Khaujakan Johor.
Sebagai mengenang jasa dan pengorbanan yang amat besar dalam perjuangan kepada kerajaan Johor dalam bidang agama dan masyarakat, beliau telah dianugerahkan sebagai Tokoh Guru Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor bagi tahun 2011.
Kata-kata hikmat beliau yang boleh di jadikan mutiara ilmu ialah ‘Jalani hidup sepenuhnya dengan ajaran dan panduan Al Quran. Cara bercakap, cara beribadah, cara bekerja, cara berkeluarga, cara bermasyarakat, cara berjuang, dan cara berjihad menurut ajaran dan panduan Al Quran’.